
APABILA melihat kepada gaya hidup segelintir masyarakat Malaysia pada
masa kini, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka tidak mempunyai masa
untuk menitikberatkan perihal penjagaan kesihatan diri.
Malah ada yang menganggap pemeriksaan kesihatan hanya diperlukan ketika tahap kesihatan diri terjejas.
Oleh kerana itu, mereka turut beranggapan bahawa tip penjagaan
kesihatan juga tidak penting untuk diterokai kerana ia merupakan
pengetahuan am semata-mata.
Menyedari situasi tersebut yang dilihat mampu mempengaruhi tahap
kesihatan segelintir masyarakat di negara ini, syarikat telekomunikasi
Maxis Berhad. (Maxis) mengambil inisiatif bekerjasama dengan pusat
perubatan kardiovaskular dan torasik Institut Jantung Negara (IJN) dalam
menawarkan panduan kesihatan kepada pengguna rangkaian tersebut.
Melaluinya, penguna Maxis memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan
khususnya mengenai jantung melalui teknologi mudah alih yang dilihat
mampu memberi kesedaran kepada semua pelanggan talian tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Bersama Maxis, Suren J. Amarasekera,
IJN akan bertindak selaku pemberi maklumat utama berhubung penjagaan
kesihatan jantung dan maklumat tersebut disalurkan oleh pakar-pakar dari
institusi itu sendiri.
Katanya, para pelanggan hanya perlu mengakses perkhidmatan berkenaan
daripada telefon mudah alih yang mempunyai ciri-ciri khidmat pesanan
ringkas (SMS), peranti pintar atau laman web.
"Kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan tip kesihatan
jantung, mereka boleh melanggannya daripada Maxis dan akan menikmati
kemudahan tersebut melalui SMS pada setiap tiga kali seminggu.
"Selain itu, bagi pelanggan yang mempunyai telefon pintar, mereka
boleh mengakses maklumat penting berkaitan kesihatan jantung secara
percuma melalui kaedah memuat turun aplikasi telefon pintar baru myHealthyHeart.
katanya pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di ibu negara
baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Maxis Berhad, Tan Sri Arshad Uda.
Suren berkata, orang ramai turut berpeluang mendapatkan pelbagai
maklumat berkaitan kesihatan jantung menerusi akses web iaitu dengan
mengunjungi portal kesihatan health.mylaunchpad.com.my.
Selain itu katanya, Maxis juga akan turut menyumbang sebanyak 10
peratus daripada hasil penjanaan perkhidmatan SMS tersebut kepada
Yayasan IJN untuk program bantuan pesakit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Dr.
Mohd. Azhari Yakub berharap perkhidmatan seperti ini akan dimanfaatkan
oleh rakyat Malaysia dalam usaha membantu meningkatkan gaya hidup
mereka.
"Kerjasama ini dilihat mampu untuk mencapai objektifnya kerana
kedua-dua organisasi mempunyai kekuatan serta pengkhususan yang saling
melengkapi.
"Di samping itu juga, dengan adanya kerjasama pintar seperti ini ia
mampu meningkatkan kesejahteraan orang ramai sejajar dengan kelangsungan
teknologi pintar terkini," katanya.
Sumber : Utusan Online 25/06/2012