
LOS ANGELES: Microsoft semalam mempamerkan komputer tablet
pertamanya, Surface, dalam usaha mereka bersaing dengan iPad keluaran
Apple.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer, menggambarkan
pencabar ipad itu - dilengkapi penutup yang juga berfungsi sebagai papan
kekunci - sebagai tablet yang berfungsi untuk “kerja dan bermain-main.”
Surface juga menjadi nama kepada komputer skrin sesentuh yang
dikeluarkan Microsoft untuk pasaran bisnes di restoran, kedai, bar serta
tempat lain. Orang ramai yang menghadiri majlis di sebuah studio
Hollywood itu begitu teruja ketika pelbagai ciri Surface dibentangkan.
Majlis berkenaan juga sempat membuat Presiden Windows dan Windows Live, Steven Sinofsky, cemas seketika apabila model pertama Surface yang diperkenalkannya gagal bertindak balas terhadap sentuhan.
Sinofsky berhenti seketika bagi mengambil unit lain dan lega apabila
alat itu berfungsi sepenuhnya. Surface beroperasi menggunakan perisian
Windows RT yang dihasilkan untuk cip peranti mudah alih ARM. Menurut
Ballmer, Surface adalah peranti perkomputeran baru yang diperkenalkan
Microsoft.
“Ia menyatukan kelebihan perkakasan dan perisian yang saling bersaing,” katanya. Microsoft tidak menyatakan secara khusus bila Surface akan berada di pasaran tetapi dipercayai dijual serentak dengan pengeluaran perisian Windows 8 akhir tahun ini. - AFP
Sumber : Harian Metro 19/06/2012