TEKSI merupakan salah satu pengangkutan pilihan bagi kebanyakan
pengguna di Malaysia untuk menuju ke destinasi yang diingini. Pengguna
boleh menunggu di tepi jalan atau menghubungi pihak yang mengendalikan
perkhidmatan tersebut.
Meskipun ramai yang memilih pengangkutan awam lain seperti bas,
Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau monorel, namun hakikatnya teksi
masih relevan dalam dunia hari ini.
Dalam usaha menawarkan kelainan kepada pengguna, MyTeksi telah
melancarkan perkhidmatan tempahan teksi secara mudah alih yang pertama
di Malaysia. Ia membolehkan penumpang untuk menempah teksi dengan mudah
menggunakan telefon pintar dan tablet (iOS dan Android) selain
menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pengurus Besar MyTeksi, Chew Wei Chuan berkata, khidmat tempahan
teksi secara mudah alih yang inovatif ini dipacu oleh teknologi mesin ke
mesin (M2M) Maxis dan menggunakan keupayaan Maxis sebagai pembekal
perkhidmatan rangkaian 3G serta 2G terbesar di Malaysia.
"Kelainan tempahan teksi secara digital baharu ini terletak kepada
keupayaannya untuk membolehkan penumpang menempah teksi dengan sebarang
alat mudah alih, memadankan penumpang dengan pemandu teksi terdekat dan
memberikan pengesahan segera.
"Penumpang teksi yang menggunakan aplikasi MyTeksi IOS, aplikasi
Android atau SMS, boleh mendapat pengesahan dalam tempoh tiga minit.
Selain itu, mereka turut diberikan nombor plat teksi, nama pemandu,
anggaran masa ketibaan serta tambang," jelas Wei Chuan dalam satu sidang
media baru-baru ini.
MyTeksi merupakan perkhidmatan tempahan teksi mudah alih pertama di
Malaysia yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar untuk
menempah dan menghantar teksi.
Sejak tahun 2011, pemandu teksi telah menggunakan teknologi
berasaskan telefon pintar MyTeksi untuk menerima tempahan melalui SIM
M2M Maxis untuk berkomunikasi dengan serta-merta.
Menurut Wei Chuan, pihaknya telah melaburkan RM500,000 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan aplikasi MyTeksi.
Menyokong inisiatif
Berdasarkan maklum balas yang diterima, pihaknya turut mensasarkan
untuk menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand
menjelang tahun hadapan dengan aplikasi ciptaan mereka.
Sementara itu, Presiden Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan &
Selangor, Datuk Aslah Abdullah memberitahu, pihaknya menyokong penuh
inisiatif yang dilakukan MyTeksi dalam usaha memberikan perkhidmatan
terbaik kepada pengguna.
"Seramai 120 pemandu teksi telah menggunakan MyTeksi sejak bulan
September tahun lalu. Hasilnya memang memberangsangkan kerana pelanggan
kami gembira dengan perkhidmatan yang mereka terima.
"Justeru, saya berharap semua pemandu teksi yang ada boleh
menggunakan perkhidmatan ini untuk jaminan pendapatan yang lebih
tinggi," ujar Pengerusi Comfort Communication Sdn. Bhd. (Comfort Taxi)
itu.
Syarikat, persatuan dan koperasi teksi utama selain Comfort Taxi,
sudah pun dalam proses menguji sistem MyTeksi. Buat permulaan,
perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang. Namun, ia
akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah
melahirkan rasa bangga kerana menjadi rakan teknologi bagi usaha
terbaharu membangunkan aplikasi MyTeksi.
"Saya percaya, MyTeksi berpotensi meningkatkan pengalaman pengguna
teksi di Malaysia. Kami telah melibatkan diri sejak di peringkat awal
dengan menyediakan pelbagai khidmat rundingan teknikal dan teknologi.
"Antaranya seperti konsep perniagaan, pembangunan teknologi,
percubaan awal pasaran dan seterusnya penggunaan perkhidmatan MyTeksi.
"Pelancaran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk bekerjasama
dengan pembekal dan pelanggan perniagaan kami bagi membangunkan
perniagaan yang inovatif serta relevan dengan pasaran Malaysia,"
jelasnya.
Majlis pelancaran MyTeksi itu dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.