
MAXIS Bhd (Maxis) menjalankan perjanjian kerjasama perniagaan dengan
Unitar International University (Unitar) bagi meningkatkan pendidikan
teknologi dan keusahawanan menerusi penyediaan pelbagai insentif kepada
pelajar Unitar.
Kerjasama berkenaan yang berlangsung dalam tempoh masa panjang
turut memberi sokongan pembiayaan pendidikan kepada pelajar universiti
itu dalam bentuk biasiswa.
Ketua Bahagian Perniagaannya, Mohamed Fitri Abdullah berkata, terdapat enam segmen kerjasama yang difokuskan di dalam perjanjian itu iaitu WiFi Hotspots, Program Latihan Industri Maxis, Program Biasiswa Maxis, Program Tajaan Maxis, Pusat Edaran Maxis dan Program Keusahawanan Maxis.
Beliau berkata, bagi WiFi Hotspots, Maxis akan menyediakan kawasan
bagi mengakses Internet tanpa wayar kepada lebih 5,000 pelajar di kampus
utama serta cawangan Unitar.
“Bagi Program Latihan Industri Maxis, syarikatnya akan memberi peluang kepada pelajar Unitar untuk melaksanakan latihan industri di syarikatnya,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur, semalam.
Sumber : Harian Metro 21/12/2012